Peluang 50-50 di Selangor, Pulau Pinang dan NS - Utusan Malaysia

Peluang 50-50 di Selangor, Pulau Pinang dan NS

MUHAMMAD IZMER YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijangka sengit dengan gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan lawan mereka, Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang sama rata atau 50-50.

Di Kedah, Kelantan dan Terengganu, PN dilihat tidak berdepan masalah mengekalkan kedudukan kerajaan negeri dan berkemungkinan semua kerusi yang pernah dimenangi oleh BN atau UMNO sebelum ini dijangka jatuh ke tangan gabungan tersebut.

Malah, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan angin perubahan ke arah PN khususnya di kawasan majoriti Melayu juga dijangka berterusan dalam PRN pada 12 Ogos depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, jika gabungan PH-BN mampu mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berkemungkinan hanya dengan majoriti mudah.

Katanya, kemenangan besar dalam PRU14 di Selangor dan Pulau Pinang dijangka sukar diulangi memandangkan sentimen politik sekarang sudah berubah khususnya golongan muda yang lebih memihak kepada PN.

Ujarnya, kerusi-kerusi di mana peratusan pengundi Melayu antara 60 sehingga 70 peratus dijangka menjadi milik PN.

“Di Pulau Pinang antaranya 10 ke 15 kerusi majoriti Melayu mungkin menjadi milik PN. Situasi ini bakal memberi cabaran besar kepada gabungan PH BN.

“Pada PRU15, kita tahu PH bergerak sendirian dengan tidak banyak sokongan Melayu. Namun harapan untuk menarik sokongan Melayu melalui UMNO juga nampak sukar memandangkan trend sokongan tersebut sudah beralih ke arah PN. Manakala UMNO juga dilihat tidak nampak sebarang usaha kembali menarik sokongan orang Melayu itu.

“Jadi, tidak nampak UMNO dan PH ini akan menyebabkan berlaku peningkatan undi Melayu. PRN kali ini khususnya di tiga negeri tersebut dilihat sangat sengit dengan semua parti mempunyai peluang sama rata.

“Jika berlaku situasi paling buruk daripada 110 kerusi ditandingi BN, jika menang sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah kerusi tersebut sudah dianggap bertuah,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, persoalan sama ada Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan boleh jatuh ke tangan PN juga tidak mustahil berlaku sama seperti di Permatang Pauh sebelum ini apabila ramai tidak menjangka kubu kuat PKR itu boleh tumbang.

Katanya, ‘indicator’ yang sama boleh digunakan untuk menilai risiko di Selangor khususnya dengan semua kerusi majoriti Melayu dilihat berisiko untuk jatuh ke tangan PN.

“Tapi jika PN boleh mengurangkan kerusi yang dimenangi PH di tiga negeri berkenaan juga dilihat sudah merupakan satu pencapaian terbaik,” katanya.

Katanya lagi, di Kedah, serangan berterusan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilihat tidak membantu sebaliknya boleh memakan diri buat PH kerana ia akan membantu menguatkan lagi sokongan terhadap Menteri Besar Kedah dan PN.

“Di Negeri Sembilan situasi kempen pula agak tenang dan meskipun dijangka sengit namun kelebihan tetap dilihat kepada gabungan PH dan BN mengekalkan kerajaan negeri itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya