KUALA LUMPUR: Pelbagai aset melibatkan Jasmine Loo Ai Swan yang ditahan pada 7 Julai lalu dan dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dijangka dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara,Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan melibatkan wanita yang juga sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low itu melalui kerjasama yang sangat baik.
Oleh demikian, beliau memaklumkan, Jasmine masih ditahan dan siasatan terhadapnya masih diteruskan oleh oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
“JSJK masih lagi meneruskan siasatan terhadap Jasmine di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan beliau juga memberikan kerjasama yang baik.
“(Selepas ini) kita akan melakukan rampasan yang banyak,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Madani Ride oleh PDRM dan Ipoh Superbike Club (ISBC) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, ditanya mengenai rampasan dan lucut hak aset IMDB akan dilakukan dalam tempoh terdekat, Razarudin menjelaskan perkara itu akan dilaksanakan, namun, siasatan mengikut AMLA berkemungkinan akan mengambil tempoh yang panjang.
“Kita dalam proses itu (rampas), namun, disebabkan AMLA ini perlu melalui prosesnya, kita akan mulai dengan merampas selepas itu ia akan dilucutkan hak atas arahan mahkamah, berdasarkan cadangan-cadangan daripada PDRM,” jelasnya.
Kata beliau, Jasmine juga akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas siasatan polis selesai kerana polis masih memerlukan Jasmine untuk melengkapkan banyak siasatan terhadap skandal kewangan itu.
Beliau bagaimanapun berkata, penahanan Jasmine melengkapkan lagi ‘serpihan-serpihan’ siasatan yang sedang dijalankan PDRM sejak beberapa tahun lalu.
“Insya-Allah kita memang ke arah itu (serpihan siasatan),” ujarnya.
Jasmine yang juga bekas peguam 1MDB yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.
Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang medianya ketika itu berkata, individu terbabit direman di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.
Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif, Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.
Dalam perkembangan berasingan mengenai mengenai Madani Ride, Razarudin berkata, jelajah ke beberapa negara termasuk selatan Thailand itu akan diketuai oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.
“Saya dimaklumkan bahawa, konvoi pada kali ini turut diserikan dengan penyertaan oleh rider dari Royal Thai Police (RTP) dan ia adalah manifestasi keakraban antara agensi penguatkuasaan kedua-dua buah negara dan diharapkan hubungan baik ini akan terus kekal terjalin selamanya.
“PDRM juga amat menghargai usaha ISBC yang menjadikan program ini sebagai wadah untuk menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan kepada 10 warga Pasukan yang memerlukan dari setiap kontinjen,” katanya.
Program Madani Ride ini menjadi antara pengisian program yang direncana sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 tahun serta Bulan Kemerdekaan 2023, membabitkan seramai 150 orang rider yang terdiri daripada warga PDRM dan ahli kelab ISBC. -UTUSAN