JOHOR BAHRU: Festival Majestic Johor (MJF) 2023 di Puteri Harbour, Iskandar Puteri yang membuka tirai semalam menyediakan pelbagai acara menarik untuk semua peringkat umur.
Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, festival sembilan hari itu turut menyediakan pameran dari daerah-daerah di negeri ini dan agensi-agensi kerajaan serta swasta.
Para pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan para pelajar Sekolah Seni Negeri Johor menerusi muzik, tarian dan teater.
Menurutnya, reruai Tourism Johor juga menawarkan cenderamata kepada para pengunjung yang berdaftar mengikut terma dan syarat ditetapkan, iaitu perlu like, follow dan share hantaran di media sosial Tourism Johor seperti Facebook dan Instagram.
“Pengunjung juga diminta kongsikan gambar-gambar menarik suasana keceriaan MJF 2023 merangkumi makanan, kebudayaan dan pameran serta jualan di ruangan laman sosial berkenaan dengan tanda pagar #majesticjohor #tourismjohor #yokroundjohor.
“Pengunjung bertuah juga berpeluang menerima hadiah atau sehelai baju T eksklusif Majestic Johor Festival 2023 melalui permainan ‘spin’,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Suhairi turut mengingatkan para pengunjung supaya mematuhi arahan dikeluarkan penganjur dan pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran festival berkenaan.
“Kita juga hendak berpesan kepada para pengunjung agar patuhi arahan letakkan kenderaan dengan betul.
“Bagi pemandu yang membawa warga emas dan kanak-kanak boleh maklum kepada pihak berkuasa untuk turunkan mereka di kawasan festival dan terus berlalu.
“Kita harap orang ramai akan memberi kerjasama agar tidak mengganggu kelancaran festival,” katanya. – UTUSAN