KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula keputusan melaksanakan Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau bagi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai Generasi Penamat (GEG).
Ini kerana, pelaksanaan tersebut dikhuatiri menyebabkan kegagalan untuk mengawal penyeludupan rokok haram yang berleluasa, dimana kini sudah berada pada kadar 55 hingga 60 peratus dalam pasaran negara ini.
Ahli Parlimen Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pendekatan pandangan sempit berhubung larangan merokok secara drastik tidak akan berhasil kerana ia akan mendorong golongan muda bergerak mencari produk tersebut dalam pasaran haram.
“Isu seperti ini sepatutnya tidak diambil sedemikian. Perlu ada penglibatan pemegang taruh yang sewajarnya tentang bagaimana kita boleh menangani ini. Sebenarnya kita patut menambah baik penguatkuasaan dan laksanakan dengan betul.
“Jika kita mula dengan GEG orang akan mula mencari pengganti (rokok) melalui pasaran haram seperti penyeludupan yang akhirnya menyebabkan peningkatan kos rawatan perubatan,” katanya pada perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau bagi Kesihatan Awam 2023 atau GEG.
Tambahnya lagi, kerajaan turut perlu memberi kuasa kepada orang ramai untuk menghalang perokok berada berhampiran bagi mengelakkan daripada menjadi perokok pasif yang lebih membahayakan kesihatan.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, kerajaan seharusnya turut mengenakan sekatan sama terhadap pengeluaran gula dan makanan berlemak yang turut mengancam kesihatan serta meningkatkan perbelanjaan rawatan.
“Gula dan makanan berlemak menyebabkan masalah kesihatan ketara, mungkin menyebabkan kematian. Jadi adakah kerajaan akan mengambil jalan mudah melarang produk sedemikian juga? Soalnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Selangor, Dr. Afif Bahardin memaklumkan, majoriti golongan berpendapatan rendah di kawasannya merokok rokok haram untuk mengurangkan kos dan ia dilakukan secara terbuka.
“Dasar tersebut akan memburukkan lagi keadaan dan menyukarkan kerajaan untuk menguatkuasakannya. Berapa ramai orang yang akan di denda atau dibawa ke mahkamah?” ujarnya.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah menyatakan, mahkamah melihat hak-hak asasi individu.
“Biasanya ia adalah hak untuk hidup, diskriminasi, antara lain. Mahkamah akan menilai sama ada ada diskriminasi kerana sekiranya diluluskan, orang berusia 17 tahun boleh merokok tetapi tidak bagi yang berusia 16 tahun,” katanya. – UTUSAN