Pelaburan langsung domestik KPI jana jumlah pelaburan negara - PM

Pelaburan langsung domestik KPI jana jumlah pelaburan negara – PM

PELABURAN langsung asing Malaysia susut pada 2023. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai langkah merancakkan landskap pelaburan negara sebagaimana diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Kedua di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan khususnya melalui MITI komited sentiasa mengimbangi kedua-dua pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI bagi merangsang pembangunan lestari dan seimbang di seluruh negara.

“Kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bukan sahaja bagi menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan, tetapi juga bagi memperkasakan ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi pelbagai cabaran global.

“Ini termasuk ancaman perubahan iklim, serta pelbagai cabaran pasca-pandemik dan geopolitk yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pelaburan DDI yang strategik juga berpotensi menarik lebih FDI kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar-dasar kerajaan bagi memantapkan landskap pelaburan dan perniagaan negara.

Katanya, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan DDI, namun berpendapat bahawa usaha meningkatkan DDI perlu lebih menyeluruh.

Sehubungan itu, kata beliau, kerjasama dan pembabitan strategik oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) amat penting untuk memperkasakan DDI sebagaimana ditekankan dalam mesej Ekonomi Madani.

“Secara keseluruhannya, GLIC hari ini mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion, dan memainkan peranan penting bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur kritikal, dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga membantu menarik pelabur asing ke Malaysia.

“MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi,” katanya.

Mengulas lanjut Anwat berkata, FDI penting bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuhkan ekonomi negara.

Walaupun beberapa kajian mengesahkan faedah FDI kepada negara, pemerkasaan pelaburan domestik berkualiti tinggi adalah sama penting dan mesti terus dipermudah dalam memacu ekonomi negara sekali gus mengembangkan struktur rantaian industri, terutamanya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bagi tahun 2022, sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah projek yang diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama) di Malaysia yang akan menjana 140,440 peluang pekerjaan.

“DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9 peratus) kepada jumlah ini, manakala bagi suku pertama 2023, nisbah FDI:DDI adalah 52.5 peratus bagi FDI dan 47.5 peratus bagi DDI, dari komitmen pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7 peratus tahun-ke-tahun)

“Peningkatan nisbah DDI mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa,” katanya.

Pada masa sama, Anwar memberitahu, MPN juga memutuskan bahawa Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan di antara MITI dan kesemua Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) akan diaktifkan semula dalam memperkemaskan landskap IPA negara menjelang 1 Januari 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya