Pekerja ladang mengaku bersalah cuba bunuh isteri - Utusan Malaysia

Pekerja ladang mengaku bersalah cuba bunuh isteri

PEKERJA ladang, R. Rethinasamy ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh isterinya sendiri dalam kejadian pada 31 Julai lalu. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BUTTERWORTH: Seorang pekerja ladang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan cubaan membunuh isterinya sendiri dengan cara menyimbah petrol dan membakar mangsa dalam kejadian pada 31 Julai lalu.

Tertuduh, R. Rethinasamy, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan menyebabkan kecederaan seorang wanita di ladang Mayfield, Tasek Gelugor di sini pada pukul 10.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Wan Amira Ruzaini menentang sekeras-kerasnya sebarang ikat jamin atas faktor tahap keseriusan jenayah yang dilakukan tertuduh.

“Mangsa yang terlibat adalah isteri OKT (Orang Kena Tahan) sendiri dan seperti yang tular di media sosial, tertuduh bertindak membakar isteri sendiri.

“Mangsa kini masih tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat melecur tahap ketiga di keseluruhan badan,” katanya.

Hakim kemudian mengarahkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 11 September depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan lantikan peguam.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun melecur teruk dipercayai dibakar suaminya menggunakan petrol di rumah mereka di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor dekat sini, ekoran perselisihan faham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya