KEPALA BATAS: Seorang pekerja ladang yang melarikan diri selepas membakar isterinya sehingga mengakibatkan kecederaan parah Isnin lalu, berjaya ditahan polis.
Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di Nibong Tebal dekat sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi esok untuk mendapatkan perintah reman.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun melecur 27 peratus di anggota badan selepas suspek menyimbah petrol dan membakar mangsa di rumah mereka di kawasan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor.
Pasangan suami isteri yang telah berkahwin sejak 15 tahun itu dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak demikian kira-kira pukul 9.30 malam.
Susulan kejadian itu, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP). – UTUSAN