Pekebun sawit diseru sertai koperasi tingkat hasil - Utusan Malaysia

Pekebun sawit diseru sertai koperasi tingkat hasil

Koperasi sawit
FADILLAH Yusoff bertemu penduduk Kampung Orang Asli Sungai Bumbun dari Suku Mah Meri pada Program Sembang Santai bersama Pekebun Kecil Sawit Selangor dekat Pulau Carey, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pekebun-pekebun sawit termasuk yang diusahakan oleh individu persendirian di seluruh negara disaran menyertai Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) bagi membantu meningkatkan produktiviti mereka.

Antara yang dapat dibantu melalui KPSM adalah menjalankan aktiviti ekonomi melalui Amalan Pertanian Baik (GAP) dan jualan buah sawit secara berkelompok terus kepada pengilang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sehingga Jun lalu sebanyak 69 koperasi KPSM ditubuhkan di seluruh negara dan dua daripada terdapat di Selangor iaitu Kuala Selangor Selatan Berhad dan Kuala Langat Berhad.

“Saya diberitahu sehingga Jun lalu, sebanyak 69 pusat timbang KPSM siap dibina di seluruh negara dengan jumlah jualan buah tandan segar melebihi 200,000 tan metrik. Purata jualan bagi satu pusat timbang pula sebanyak 340 tan sebulan.

“Secara amnya, 8,000 orang pekebun kecil mendapat manfaat secara langsung daripada penubuhan KPSM ini, iaitu apabila pesaing-pesaing juga meningkatkan tawaran harga kepada pekebun setara harga KPSM,” katanya ketika berucap pada Program Sembang Santai bersama Pekebun Kecil Sawit Selangor sempena Trekk Komoditi (Zon Tengah Semenanjung) di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, hari ini.

Tambahnya, kira-kira 200 pekebun kecil dalam kalangan Orang Asli di Pulau Carey di seru supaya menyertai KPSM supaya produktiviti dan pendapatan mereka dalam sektor penanaman sawit dapat ditingkatkan.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memaklumkan kerajaan mengutamakan kebajikan pekebun kecil sawit dengan pemberian skim-skim bantuan sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan pekebun kecil sawit persendirian.

“Termasuk dengan geran penanaman semula pokok, sebab ada tanaman yang sudah agak berusia dan perlu penanaman semula. Apa kita lakukan sekarang adalah melalui pinjaman mudah yang dilaksanakan melalui Agro Bank, yang mana mereka hanya dikenakan faedah ataupun yuran pengurusan dua peratus.

Dari situ nanti mereka akan hanya mula bayar pada tahun kelima, sebab bila tanam semula ia tak akan ada hasil selama empat tahun, tahun kelima barulah mula bayaran. Pinjaman ini juga untuk pembelian baja, racun, kelengkapan pertanian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya