Peguam Negara rayu keputusan pembebasan Muhyiddin

Peguam Negara rayu keputusan pembebasan Muhyiddin

TAN SRI IDRUS HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan rayuan terhadap pembebasan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memfailkan rayuan terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin yang membatalkan keempat-empat pertuduhan yang dihadapi oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam kenyataan itu, beliau menjelaskan, keputusan mahkamah hanya melibatkan pertuduhan menggunakan kedudukan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan tidak melibatkan tiga pertuduhan lain di bawah kesalahan pengubahan wang haram.

Ujar Idrus, ketiga-tiga pertuduhan itu melibatkan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Peguam Negara berkata, pertuduhan-pertuduhan itu masih kekal dan dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen ditetapkan pada 19 September 2023.

Idrus berkata demikian ketika merujuk keputusan Hakim Muhammad Jamil yang membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23(1).

Muhyiddin, 76, dilepas dan dibebaskan kerana  keempat-empat pertuduhan dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah kabur dan cacat kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan. 

Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan agar perbicaraan di Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, ditangguhkan.

Selain empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya