Seramai 6,997 anggota dan pegawai polis serta tentera terlibat dengan hari pengundian awal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, jumlah itu terdiri daripada 4,395 pegawai dan anggota polis serta 1,884 pegawai dan anggota tentera.

“Jumlah pengundi awal pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini turut termasuk ahli keluarga masing-masing seramai hampir 700 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian awal di lima saluran undi di Pusat Mengundi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Katanya, polis Terengganu dengan kekuatan 4,468 pegawai dan anggota akan ditugaskan pada hari tersebut termasuk bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Seramai 449 lagi pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Dron, trafik dan anggota cawangan khas (SB) turut membantu.
ANGGOTA PDRM dari Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menunjukkan dakwat pada jari selepas mengundi awal dalam PRN di Kuala Nerus, semalam.-UTUSAN