Pegang ‘janji’ modul hadis tidak diperluas bukan Islam - Gerakan

Pegang ‘janji’ modul hadis tidak diperluas bukan Islam – Gerakan

DOMINIC LAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan menegaskan, Kementerian Pendidikan perlu berpegang kepada kenyataan menterinya bahawa modul Penghayatan 40 Hadis Imam Al-Nawawi hanya diperkenal kepada pelajar Islam dan tidak sesekali memperluaskan kepada pelajar bukan Islam. 

Presidennya, Senator Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, jaminan tersebut amat penting. 

“Apa yang penting adalah proses penerangan berkenaan dengan pendekatan tersebut. Kenyataan-kenyataan awal pihak berkuasa dalam perkara ini adalah terlalu makro dan mewujudkan kegelisahan orang ramai terutama kepada ibu bapa dan pelajar bukan Islam. 

“Gerakan menyokong usaha ini dan mengharapkan Kementerian Pendidikan mendekati pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dengan penerangan perancangan, impak dan perjalanannya. 

“Masalah yang sering kita hadapi di bawah kerajaan ini adalah mereka gagal dalam proses penerangan dan sering menimbulkan kegelisahan kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Kementerian Pendidikan sebelum ini merancang untuk melaksanakan modul berkenaan di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara. 

Bagaimanapun, beberapa pertubuhan bukan Islam dilapor membantah pelaksanaan tersebut. 

Namun, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying dilapor menegaskan, pelaksanaan modul terbabit hanya akan dilaksanakan kepada pelajar serta guru beragama Islam sahaja dan bukan kepada mereka yang beragama lain. 

Justeru, beliau berkata, kementeriannya sedia bertemu mana-mana pihak untuk berbincang mengenai kekeliruan berhubung pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara.

Mengulas lanjut, Dominic Lau mengingatkan semua pihak mengenai keperluan pendekatan kesederhanaan yang perlu diterapkan dalam menghormati hak keagamaan dan pengajiannya. 

Beliau percaya, setiap elemen kerohanian dan keagamaan perlu diterapkan dalam silibus pendidikan dan perkara itu jelas. 

“Kita sebagai rakyat berbilang kaum dan agama perlu memahami konteks kesederhanaan dan menghormati pendekatan keagamaan oleh rakan-rakan kita. 

“Selagi sesebuah pengajian tidak menimbulkan kesulitan kepada yang lain, tidak salah mereka (yang Islam) menghayati asas kesucian yang menghimpunkan panduan kehidupan dan dipercayai membantu pembentukan akhlak generasi muda Islam yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN