KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menilai semula modul latihan dan kursus pegawai dan anggotanya untuk ditambah baik seiring perkembangan teknologi dan cabaran jenayah masa kini.
Pengambilan anggota dan pegawai baharu PDRM juga akan diberi keutamaan 20 peratus calon mempunyai latar belakang berkaitan asas teknologi dan kejuruteraan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu dilakukan selepas modul latihan sedia ada dilihat ‘lapuk’ dan ketinggalan untuk menangani siasatan jenayah yang makin kompleks masa kini.
Menurut beliau, proses mengemas kini itu akan melihat perubahan sekurang-kurangnya 50 peratus modul latihan sedia ada bagi memastikan setiap pegawai dan anggota PDRM lebih kompeten.
“Mungkin kita akan ambil 20 peratus mereka yang mempunyai latar belakang asas teknologi, kejuruteraan atau sebagainya,” kata beliau ketika ditemui semalam.
Razarudin berkata, melihat kepada penugasan pegawai dan anggota di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) masa kini, terdapat keperluan dalam menambah baik modul latihan yang sedia ada mengikut perkembangan teknologi.
“Jika dahulu mungkin modul cara siasatan berkaitan jenayah siber dilakukan secara tradisional namun kini pegawai-pegawai baharu ini perlu belajar cara siasatan mengikut perkembangan teknologi seperti Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) selain mahir dalam sistem-sistem yang ada.
“Ini yang Bahagian Latihan akan buat dan fikirkan. Mungkin mereka akan berbincang sendiri dengan pengarah-pengarah setiap jabatan khususnya JSJK mengenai modul latihan yang perlu ada.
“Selain mewujudkan satu komuniti kecil yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri bagi membincangkan modul-modul latihan yang perlu mengikut kesesuaian semasa,” jelasnya.
Razarudin menambah, PDRM juga akan melakukan rasionalisasi terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan JSJK yang memerlukan penambahan anggota.
“Buat masa ini kita hanya mempunyai seramai 2,300 anggota dan pegawai komersial manakala kira-kira 4,000 polis bertugas di narkotik di seluruh negara.
“Oleh itu, kita akan menempatkan kira-kira 600 anggota dan pegawai Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) ke jabatan-jabatan ini bagi mengisi kekosongan perjawatan,” katanya.
“Dalam hal ini, kita (PDRM) akan melihat mana-mana pegawai dan anggota muda yang cemerlang dan berpotensi diberi kenaikan pangkat.
“Apabila dinaikkan pangkat, kita akan menetapkan mereka untuk mengikuti kursus-kursus yang perlu mereka hadiri.
“Kursus-kursus ini pula, kita tidak boleh pakai modul lama tetapi kita akan guna modul baharu mengikut perkembangan semasa,” kata beliau.
Menurut Razarudin, perubahan atau penambaikan juga melibatkan jabatan dan unit lain antaranya Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memastikan setiap anggota dan pegawai cekap ketika menangani apa jua keadaan.
“Kalau URB, unit ini perlu satu modul bagaimana nak lindungi diri, berinteraksi serta menggunakan peralatan dan senjata api,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, kursus tersebut bergantung kepada peruntukan yang disediakan. – UTUSAN