PATI ditahan naik feri dari Langkawi ke Kuala Kedah

PATI ditahan naik feri dari Langkawi ke Kuala Kedah

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan ketika menaiki feri ke Kuala Kedah di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Hasrat sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ke Kuala Kedah dengan menaiki feri penumpang dari Langkawi tidak kesampaian apabila mereka ditahan di perairan Kuala Kedah, dI sini kelmarin.

Kesemua mereka terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun itu ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam Op Aman kira-kira pukul 9.20 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pemeriksaan mendapati semua warga asing itu hanya memiliki salinan surat dan kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

“Surat dan kad UNHCR itu meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad tersebut telah dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung tangkapan PATI itu termasuk ke mana destinasi yang mereka mahu pergi.

Difahamkan, tangkapan itu melibatkan PATI yang sudah lama berada di negara ini, selain ada juga yang baru masuk.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

Sementara itu, dalam kes lain, Zon Maritim Kuala Kedah juga berjaya merampas 70 unit bubu naga atau bubu kambang di tiga lokasi berbeza.

Menurut Noor Azreyanti, kejayaan itu adalah hasil operasi yang dilakukan berikutan aduan awam berhubung penggunaan bubu naga itu di sekitar perairan Kuala Jerlun, Kuala Kangkung dan Sungai Limau, Yan dekat sini.

“Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemukan pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa seperti pelampung penanda, pancang kayu dan alat sistem pengesanan global (GPS) yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang itu.

“Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM8,000 dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” tambahnya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya