SHAH ALAM: Hanya rasa syukur mampu dizahirkan pasangan anggota tentera apabila dikurniakan anak keempat mereka pada tarikh keramat Hari Kebangsaan ke-66 hari ini.
Lebih mengujakan, Sarjan Siti Mariam Ali, 41, selamat melahirkan puteranya itu lebih awal berbanding jangkaan tarikh awal pada 19 September depan.
Menurut paramedik Kor Kesihatan Diraja Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pangkalan Udara Subang itu, dia dan suaminya, Sarjan Sumail Gilada, 40, bersyukur dapat menyambut kelahiran anak mereka pukul 12.17 tengah malam tadi.
“Berikutan menabur bakti sebagai anggota tentera, kami berbangga anak lelaki bongsu itu lahir pada hari kemerdekaan negara.
“Tiada lain kami harap kecuali dia menjadi anak yang berguna bukan saja kepada keluarga malah bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui di Wad Bersalin Hospital Shah Alam (HSA), hari ini.
Wanita bertuah itu antara tujuh ibu yang disantuni Yayasan Kita Anak Malaysia dan menerima sumbangan hamper dan barangan bayi.
Tambah Siti Mariam, dia dimasukkan ke dalam wad bersalin itu selepas mengalami kesakitan kontraksi kira-kira pukul 10 malam tadi.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dengan kelahiran anak kami seberat 2.2 kilogram. Perkhidmatan doktor, jururawat dan fasiliti HSA juga amat bagus serta berkualiti,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kita Anak Malaysia, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, rekod hospital itu merekodkan lima bayi lelaki dan dua bayi perempuan dilahirkan bermula pukul 12.17 tengah malam sehingga 9.34 pagi tadi.
“Lima daripada bayi itu dilahirkan secara normal manakala dua lagi menerusi pembedahan. Objektif utama program kami bertujuan mahu menyemai semangat kemerdekaan terutama bagi generasi masa depan dan mencintai tanah air,” katanya. – UTUSAN