Pasangan kekasih didakwa bunuh kanak-kanak lelaki sembilan tahun - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih didakwa bunuh kanak-kanak lelaki sembilan tahun

IZUHAIZAD Ismail (depan) dan Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin didakwa mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun sehingga mati bulan lalu ketika dituduh di Mahkamah Majistret Taiping hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Sepasang kekasih yang ditahan selepas dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun sehingga mati bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36, yang merupakan ibu kandung mangsa dan teman lelakinya, Izuhaizad Ismail, 37, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Hasiffaidhi Mohamad Jeffry berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Taman Panglima Assam Kumbang, Taiping antara pukul 10.30 pagi pada 29 Julai 2023 hingga 10.52 pagi, 30 Julai 2023.

Pertuduhan terhadap pasangan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik, kimia, asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan mati dengan beberapa kesan lebam di badan dipercayai didera di sebuah rumah di Assam Kumbang.

Anak kedua daripada lima beradik yang tinggal di rumah tersebut bersama ibu dan teman lelaki wanita terbabit disyaki didera sejak Mac lagi.

Siasatan mendapati, ibu bapa mangsa mengalami masalah rumah tangga dan dalam proses penceraian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN