Pas teruskan projek terbengkalai ditinggalkan kerajaan terdahulu - Utusan Malaysia

Pas teruskan projek terbengkalai ditinggalkan kerajaan terdahulu

AHMAD Samsuri Mokhtar (lima dari kiri) bergambar bersama orang ramai yang hadir pada program Murabbi Nok Jupe : Chat With Me 3.0 di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu  di Kuala Terengganu, petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas tidak melakukan sebarang projek pembangunan fizikal baharu sejak mengambil alih pentadbiran Terengganu pada tahun 2018 kerana mahu meneruskan projek-projek terbengkalai yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setelah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, Pas mendapati banyak projek-projek yang dimulakan sejak tahun 2004 terbengkalai di Terengganu kerana pertukaran beberapa Menteri Besar daripada parti pemerintah sebelum itu.

Menurutnya, pelbagai projek pembangunan terbengkalai yang dibuat kerajaan negeri sebelum ini melibatkan jumlah keseluruhan RM1 bilion 

“Itu bagi tempoh 2004 hingga 2018 antara projek tersebut adalah Taman Ilmu, Tembila di Besut, Pulau Poh dan Pulau Bayas di Tasik Kenyir dan bas dua alam.

“Bila Pas perintah, kita ambil tanggungjawab siapkan yang terbengkalai termasuk yang terbaru Strawberry Park di Kijal.  Kita jadi kerajaan kena laksana tugas dengan amanah tanpa pembaziran wang rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Murabbi Nok Jupe : Chat With Me 3.0 di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini, petang tadi. 

Turut hadir, Presiden Pas, Tan Seri Abdul Hadi Awang dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memberitahu, perbelanjaan kerajaan negeri adalah mengikut keutamaan dan keperluan yang memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

“Umpama contoh, kita ada RM500, tapi nak belanjakan untuk macam-macam perkara, sudah pasti tak akan cukup, kena timbang dulu mana yang boleh belanja sekarang dan mana yang boleh belanja kemudian.

“Itulah keutamaan kita dan alhamdulillah projek yang terbengkalai sudah pun disiapkan dalam penggal ini. Ini amanah Allah untuk kita selesaikan masalah negeri, bukan sekadar tunjuk bangunan tinggi tapi nak selesai masalah rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya