Pas Terengganu cadang SPR sedia bas pengundi luar - Utusan Malaysia

Pas Terengganu cadang SPR sedia bas pengundi luar

ALIAS RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Pas Terengganu mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan perkhidmatan bas kepada pengundi luar untuk pulang ke Terengganu menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Dr. Alias Razak berkata, itu adalah cara terbaik untuk memastikan semua pengundi luar dapat pulang kerana jumlah bas ekspres yang ada tidak dapat menampung kepulangan itu secara serentak.

“Bayangkanlah pada hari pengundian, semua orang nak balik tapi bas ekspres yang ada pun tak cukup. Kalau tak ada bas tambahan mereka nak naik apa?

“Takkan dari Kuala Lumpur nak jalan kaki balik ke Terengganu, laluan rel Pantai Timur (ECRL) pun tak siap lagi. Jadi kalau tak ada bantuan bas (dari parti politik) , macam mana mereka yang tiada kenderaan nak balik?

“Kalau yang ada kereta boleh lah balik, tapi yang naik motosikal bimbang juga nak balik jauh ni dalam keadaan hujan. SPR kena fikirlah benda-benda macam ini dan sepatutnya SPR yang sediakan (bas),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menegaskan apa sahaja pemberian wang, bayaran tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya adalah suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana boleh mempengaruhi pengundi untuk memenangkan seseorang calon.

Mengulas lanjut, Alias berkata, Pas sedang mencari alternatif lain untuk memastikan pengundi yang tidak mempunyai kenderaan tetap dapat pulang mengundi pada PRN nanti.

“Kita sedang cari bagaimana cara boleh bantu. Kita akan bantu ringankan beban mereka nak balik tapi buat masa ini kita harap mereka balik dengan sukarela.

“Kita harap ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin bantu bawa balik pengundi luar kerana ada sekatan jika parti yang lakukan,” katanya.

Tambah Alias, jumlah pengundi luar yang berdaftar di Terengganu adalah kira-kira 60,000 orang dan kepulangan mereka sangat penting untuk menyuburkan proses demokrasi dalam pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya