PETALING JAYA: Tindakan Pas menawarkan calon baharu untuk jawatan Menteri Besar Kelantan dan menunjukkan pimpinan parti sudah terdesak serta kurang senang dengan penyandang jawatan Timbalan Menteri Besar, Mohd. Amar Nik Abdullah.
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan, tindakan itu memberi petunjuk bahawa parti lamanya berada dalam keadaan tertekan, terdesak dan ‘defensif’ di Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Malah, katanya, sokongan rakyat telah merosot terhadap Pas di Kelantan khususnya.
“Tawaran saat akhir ‘orang baharu’ tanpa dinamakan siapa orangnya sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan dengan menggugurkan penjawat sedia ada menunjukkan pimpinan Pas sendiri merasa rimas dan tertekan dengan pelbagai kenyataan sinis dan sinikal oleh Mohd. Amar sekarang terutamanya dalam isu dan krisis air di Kelantan.
“Ia tidak menguntungkan politik Pas di Kelantan malah menimbulkan kemarahan rakyat jelata. Kerimasan ini sebenarnya sudah lama disuarakan dalam kalangan ahli dan pimpinan pertengahan Pas,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, ia juga mengiyakan seruan terbuka adik bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat iaitu Nik Din Nik Mat untuk menolak Mohd. Amar di kerusi Panchor dengan dakwaan menyekat anaknya, Nik Abduh Nik Aziz daripada bertanding di Chempaka.
“Lebih menarik apabila keputusan ini dibuat oleh Dewan Harian sahaja bukannya Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Timbalan Menteri Besar pula adalah ahli Dewan Harian sebagai Naib Presiden. Apakah respon beliau sendiri ketika mesyuarat tersebut membuat keputusan?
“Namun, rakyat tidak hanya melihat kepada kenyataan-kenyataan Timbalan Menteri Besar sahaja tetapi kuncinya ialah rakyat menyedari dan memperakui kelemahan pengurusan bukan beliau sahaja tetapi kerajaan negeri secara keseluruhannya termasuk semua exco-exco.
“Sekiranya exco-exco ini pula yang mengambil alih teraju, keadaannya tetap sama dan masalah pengurusan kerajaan Kelantan di bawah Pas melibatkan air dan tatakelola tetap berulang,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Pas mengekalkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar Terengganu.
“Ucapan-ucapan Menteri Besar Kedah yang kontroversi sebagai seorang pemimpin daripada parti berjenama Islam adakah dilihat menguntungkan politik Pas di Kedah? Kedua-dua mereka adalah ahli Dewan Harian yang sudah tentu menghadiri mesyuarat tersebut.
“Rakyat berhak memilih yang terbaik dari kalangan yang baik. Tanpa Pas, Islam tetap terjulang dan dinobatkan manakala pengurusan dan tatakelola pula dibuat penambahbaikan demi kemaslahatan rakyat. Air di Kelantan insya-Allah bakal dinikmati sebagaimana selayaknya oleh rakyat Kelantan yang telah merintih sejak 33 tahun,” katanya. – UTUSAN