KUALA LUMPUR: Orang Melayu tetap rugi meskipun Pas menang banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, kata bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata, kemenangan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah kemenangan orang Melayu memandangkan gabungan tersebut hanyalah duduk di kem pembangkang.
Katanya, sama ada UMNO atau Pas pada hakikatnya kekuatan orang Melayu sudah pun semakin melemah khususnya UMNO yang kini hanya tinggal 26 kerusi Parlimen.
“Kita kembali kepada keadaan seperti 2018 (kejatuhan UMNO pada PRU14). Ramai orang kita (Melayu) tak kira UMNO atau Pas tak sedih. Ini bukan soal politik sahaja, ini soal perjuangan untuk bangsa.
“UMNO cuma tumpang kuasa (dalam Kerajaan Perpaduan), saya bimbanglah apa yang kita boleh buat dengan menumpang. Kuasa tidak di tangan kita sebaliknya di tangan orang,” katanya pada sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini.
Tegasnya, Pas dan UMNO perlu mencari jalan ‘menang-menang’ untuk kembali bermuafakat seperti yang pernah diwujudkan dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini yang pada akhirnya terkubur disebabkan pimpinan masing-masing membawa haluan berbeza.
“Saya nak minta sebelum pilihan raya (PRU16) UMNO bangkit semula, Melayu bangkit semula dan berdiri di atas kaki sendiri. Bekerjasama dengan Pas seperti dulu.
“Orang Pas pun jangan berlagak sangat, menang banyak kerusi bukan main gah lagi. Orang UMNO, Pas jangan berlagak sesama sendiri, kalau mahu tunjuk hebat, tunjuk pada orang lain,” katanya.
Pada masa sama beliau berkata, UMNO tidak boleh menumpang kuasa dengan gabungan lain selamanya sebaliknya perlu mengumpulkan kekuatan dan kembali menjadi dominan dalam kerajaan.
“Takkan kita hendak begini selamanya, UMNO jadi parti kecil dalam komponen Kerajaan Perpaduan. Kita mahu UMNO kembali gagah. Harapannya satu hari nanti ia akan kembali dominan dalam kerajaan,” katanya.
Pada PRU15, UMNO yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang 26 kerusi, manakala empat kerusi lagi dimenangi wakil MCA dan MIC.
Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi 79 kerusi Parlimen pada PRU-15, daripada jumlah itu, Pas memenangi kerusi paling banyak iaitu, 49 kerusi manakala 30 lagi adalah milik Bersatu. – UTUSAN