Padah simpan minyak masak melebihi had - Utusan Malaysia

Padah simpan minyak masak melebihi had

PEGAWAI KPDN Perak membuat pemeriksaan dalam serbuan di sebuah premis borong barangan runcit di Kawasan Perindustrian Ringan Kinta Jaya, Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas sebanyak 4,240 kilogram (kg) minyak masak dari sebuah premis borong barangan runcit di Kawasan Perindustrian Ringan Kinta Jaya di sini semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan pada pukul 11.30 pagi itu, premis berkenaan didapati menyimpan barang kawalan melebihi kuantiti yang ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis itu mendapati mereka mempunyai lesen Borong Control Supply Act (CSA) yang masih dalam tempoh sah dengan jumlah kuantiti had simpanan gula sebanyak 50 metrik tan, minyak masak (10 metrik tan) dan tepung gandum (20 metrik tan).

“Premis itu juga mempunyai lesen runcit CSA gula, minyak masak dan tepung gandum yang masih dalam
tempoh sah dengan jumlah had kuantiti masing-masing 500kg,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kuantiti simpanan di dalam premis mendapati premis menyimpan barang kawalan minyak masak pelbagai jenama sebanyak 14,740kg.

Katanya, jumlah itu melebihi had simpanan seperti mana had yang dibenarkan di dalam kedua-dua lesen Borong CSA iaitu 10 metrik tan atau 10,000kg.

“Tindakan sitaan ke atas minyak masak sebanyak 4,240kg dijalankan untuk tujuan siasatan lanjut.

“Jumlah nilai sitaan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM16,224. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh KPDN.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui saluran aduan disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya