PETALING JAYA: “Oyen mulai lemah dan rawatan telah diberikan sebaik mungkin, tetapi tidak dapat bertahan”.
Demikian tulis pemilik Klinik Veterinar Zul Erwan, Dr. Zul Erwan Azmi yang memberitahu seekor kucing dinamakan Oyen telah mati.
Kucing itu ditemukan cedera berhampiran lokasi nahas pesawat di Elmina, 17 Ogos lalu.
Beliau yang merawat kucing tersebut mengesahkan ‘pemergian’ Oyen dalam akan Instagram miliknya, malam tadi.
Menurutnya, Oyen didapati positif virus FIV (Aids kucing) membuatkan sistem imun badannya terganggu dan komplikasi luka di tulang belakang membuatkan jangkitan kuman cepat merebak.
“Oyen mulai lemah dan rawatan telah diberikan sebaik mungkin tetapi tidak dapat bertahan,” katanya.
Oyen sebelum ini dilaporkan cedera ketika ditemukan berhampiran lokasi nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1).
Petugas kesihatan memberikan rawatan sebelum menghantarnya ke Klinik Veterinar Zul Erwan untuk rawatan lanjut.
Nahas pesawat persendirian yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina itu mengorbankan 10 individu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun. – UTUSAN