Ops Tapis: Musang salai antara barangan dirampas Kastam - Utusan Malaysia

Ops Tapis: Musang salai antara barangan dirampas Kastam

ISMAIL Hashim (duduk, tiga dari kiri) menunjukkan gambar musang salai yang cuba diseludup ke Thailand sewaktu sidang media di Pejabat Kastam Padang Besar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Musang salai yang merupakan makanan eksotik di Thailand menjadi antara barangan cuba diseludup keluar ke negara jiran menerusi Ops Tapis yang dilaksanakan bermula 11 hingga 27 Julai lalu.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, melalui operasi itu, pihaknya berjaya mengagalkan cubaan menyeludup empat ekor musang yang telah disalai ke Thailand oleh seorang warga tempatan.

Beliau berkata, musang berkenaan akan dijual bermula pada harga RM100 sehingga RM500 bergantung kepada saiz dan tahap kematangan.

“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 60 (1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Perhilitan negeri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Padang Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Ops Tapis itu, Ismail berkata, sebanyak tujuh kes berjaya diperolehi sepanjang tempoh berkenaan di mana tiga kes membabitkan penyeludupan barang larangan, tiga kes penyeludupan barang tidak berkastam dan satu kes pengedaran dadah.

Beliau berkata, jumlah anggaran nilai barangan rampasan itu termasuk kenderaan yang disita adalah berjumlah RM268,035.56 membabitkan keseluruhan duti serta cukai berjumlah RM53,885.29.

“Kes-kes terlibat akan disiasat di bawah peruntukan Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, bagi kes penyeludupan dadah, seorang individu warga Thailand yang cuba melakukan kegiatan berkenaan melalui bagasi penumpang telah dituduh di mahkamah pada 1 Ogos lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, operasi tersebut dilaksanakan bertujuan bagi memperkasakan kawalan sempadan ke atas kenderaan penumpang yang disyaki membawa barangan tidak berkastam.

“Justeru kami juga menyeru orang ramai agar dapat memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya