'Oceanman @ Redang' disenarai dalam kalendar pelancongan Terengganu  - Utusan Malaysia

‘Oceanman @ Redang’ disenarai dalam kalendar pelancongan Terengganu 

SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyahut cabaran pada kejohanan renang di perairan laut terbuka 'Oceanman @ Redang 2023' di Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kejohanan renang di perairan laut terbuka ‘Oceanman @ Redang 2023’ akan disenarai dalam kalendar pelancongan tahunan Terengganu untuk mempopularkan lagi Pulau Redang dekat sini sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan bertaraf antarabangsa. 

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof  Zakaria berkata, program tersebut yang julung kali diadakan di Pulau Redang, semalam berjaya menarik penyertaan seramai 566 peserta dari 31 buah negara. 

“Ini adalah satu lagi peluang untuk memartabatkan industri pelancongan di Terengganu dengan memanfaatkan keindahan Pulau Redang yang terkenal dengan kejernihan airnya dan keindahan alam semulajadi yang masih belum tercemar.

“Penganjuran Oceanman @ Redang 2023 telah memberi impak positif kepada semua pengusaha resort di Pulau Redang dan penduduk sekitar yang turut mendapat limpahan manfaatnya termasuk pemandu bot dan pemandu pelancong.

“Kita akan berbincang dengan pihak penganjur untuk meneruskan program ini sebagai aktiviti pelancongan tahunan di Terengganu dan akan berusaha untuk menarik lebih ramai peserta pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas acara pelepasan peserta di Pulau Redang di sini, semalam.

Peserta kejohanan itu melibatkan dari Malaysia, Australia, Singapura, Indonesia, Vietnam, Taiwan, Perancis, Itali, Jepun, Rusia, Mexico, Jerman dan Mesir.

Oceanman adalah kejohanan renang bertaraf antarabangsa yang menguji kekuatan peserta untuk menjadi juara di perairan laut terbuka dan telah dianjurkan di banyak lokasi di seluruh dunia sebelum ini.

Kali terakhir penganjuran Oceanman berlangsung di Malaysia ialah di Pulau Langkawi, Kedah pada tahun 2018.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Oceanman Malaysia, Sundi Kumar berkata, pihaknya memilih Pulau Redang setelah melakukan penilaian daripada pelbagai aspek berbanding lokasi yang lain.

“Pilihan resort yang banyak untuk penginapan serta kemudahan lain seperti pengangkutan juga dipertimbangkan untuk memudahkan peserta dari seluruh dunia datang ke sini.

“Sasaran awal kita ialah 500 peserta dan kita berjaya melepasi sasaran itu malah lebih 60 penyertaan adalah dari luar negara kerana teruja ingin merasai sendiri pengalaman berenang di perairan Pulau Redang dan menikmati keindahannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya