Naskhah tema agama rujuk karya Indonesia - Utusan Malaysia

Naskhah tema agama rujuk karya Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGKARYA seni yang mahu mengupas drama atau dokumentari bercorak keagamaan wajar menjadikan produk seni dari Indonesia sebagai contoh.

Personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya berkata, sebagai penulis skrip dokumentari dia sendiri banyak merujuk karya dari negara seberang kerana genre religi di sana memberikan impak sangat besar.

“Populasi di sana juga lebih besar dan mereka memiliki lebih banyak sumber berbanding kita agak kecil.

“Pasaran di sana lebih besar dan mempunyai pasaran tersendiri. Kalau naskhah bertemakan keagamaan sentiasa mendapat sambutan,” katanya.

Penulis lirik, penerbit dan pengacara itu menjelaskan naskhah bertemakan keagamaan menuntut proses yang penuh ketekunan dan ketelitian.

“Kalau cerita tentang agama ini perlu pastikan kesahihan serta kajian mendalam.

“Di Indonesia, banyak cerita yang tular sehingga menjadi fenomena. Ini menunjukkan mereka mampu menterjemahkan idea sesebuah karya dengan begitu cemerlang,” katanya.

Bagi mengangkat drama bertemakan keagamaan, kata Fedtri, ia memerlukan kerjasama banyak pihak agar naskhah yang dihasilkan benar-benar memberikan impak besar.

Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan masyarakat lebih ‘disuapkan’ nilai agama yang tinggi.

“Misalnya ada bengkel anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan TV3 yang boleh duduk sekali hasilkan sebuah idea baharu.

“Pelbagai bidang kepakaran termasuk mereka yang cemerlang dalam seni persembahan sudah tentu mampu menyuntik idea lebih segar.

“Selain itu, boleh juga diperbanyakkan memorandum persefahaman (MoU) dengan penglibatan banyak pihak,” jelasnya.

PELAKON PERLU VERSATIL

Kerap membawa watak alim seperti drama bersiri Ustaz Amirul, Puaka Niyang Rapik dan Geng Tadarus, menunjukkan Ashraf Muslim adalah pelakon yang berkaliber menerajui watak sedemikian.

Sebagai pelakon, katanya, sudah menjadi tanggungjawab untuk menggalas apa jua naskhah yang diberikan dengan penuh kesungguhan.

“Kalau dapat watak tentera kita sanggup pergi latihan dan buat badan. Sepatutnya juga kalau kita dapat watak alim perlu mainkan peranan sebaiknya.

“Kalau ada babak membaca ayat al-Quran, hadis dan doa, mana-mana pelakon sepatutnya boleh baca dan buat,” katanya.

Ashraf berkata, mana-mana pelakon perlu faham karakter yang dibawa dan bijak mempersembahkan perwatakan itu ke dalam naskhah yang dijayakan.

“Tapi saya tak salahkan pelakon juga kalau dia tak boleh baca. Mungkin untuk meneruskan juga babak tertentu, pengarah ambil langkah pasang lagu atau mainkan muzik latar.

“Itu bergantung kreativiti produksi. Apapun terpulang pada pengarah. Cuma, kalau pelakon boleh buat alangkah bagusnya sebab nampak lebih cantik dalam cerita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya