Nasib pesawah, pekebun getah jadi antara keutamaan Sabrina jika menang di Jitra - Utusan Malaysia

Nasib pesawah, pekebun getah jadi antara keutamaan Sabrina jika menang di Jitra

SABRINA Ahmad (dua dari kanan) ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama (BGU) Jitra, Kedah hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Nasib pesawah dan penoreh getah antara yang akan diberi keutamaan jika calon Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.

Calon PH DUN Jitra, Sabrina Ahmad, 45, berkata, hal demikian penting bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi golongan tersebut.

Katanya, aspek pengairan sistem saliran sawah padi di kawasan itu sememangnya amat memerlukan perhatian memandangkan kebanyakan daripadanya sering dipenuhi dengan lalang dan semak.

Selain itu katanya, isu-isu penoreh yang mengusahakan tanaman getah di atas tanah berstatus pendudukan sementara (TOL) sekitar kawasan ini juga amat memerlukan perhatian daripada pihak berwajib.

“Jadi dua isu ini akan saya bawa sekiranya dipilih memandangkan ia amat memerlukan keutamaan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama (BGU) Jitra, di sini, hari ini.

Pada PRN ini, Sabrina bakal menghadapi pertembungan satu lawan satu menentang bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Haim Hilman Abdullah yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Jitra dimenangi bekas Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ketika itu bertanding atas tiket PH.

Beliau bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan DUN berkenaan pada PRN kali berikutan prestasi buruk Pejuang pada PRU15.

Dalam pada itu, Sabrina berkata, menerusi pemerhatiannya berdasarkan siri kempen di DUN itu, pihaknya mendapati kebanyakan anak muda khususnya di kawasan bandar menunjukkan penerimaan yang baik terhadap PH.

“Di kawasan kampung mungkin penerimaan kepada PN itu agak kuat namun kita mengharapkan agar generasi muda tidak melakukan kesilapan dan membuat pilihan terbaik kerana kesannya adalah untuk jangka masa lima tahun akan datang,” katanya.

Selain itu, Sabrina berkata, menjelang hari pengundian pada Sabtu ini, pihaknya juga akan lebih memberi fokus kepada kempen secara dalam talian bagi menarik sokongan pengundi di kawasan itu.

Tambahnya, bagaimanapun, beliau masih meneruskan pendekatan kempen secara turun padang bagi bertemu seramai mungkin pengundi di DUN Jitra.

“Apa pun jentera parti akan seimbangkan pendekatan dua kempen ini untuk pastikan kemenangan PH di DUN Jitra pada PRN ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya