SELEPAS Lantai T. Pinkie pada 2006 dan Di Bawah Lindungan Kaabah (2014), pelakon bertaraf primadona, Nasha Aziz kembali ke pentas teater menerusi naskhah Kopi Pangku arahan Dr. Rosminah Tahir.
Konsep pementasan Kopi Pangku berskala kecil berbeza jika dibandingkan dengan dua teater yang pernah disertai pelakon tersebut sebelum ini.
Malah Nasha mengakui dia telah bertolak ansur tentang bayaran demi menjayakan naskhah berkenaan.
“Wang bukan segala-galanya. Saya sedia bertolak ansur (bayaran) disebabkan hubungan baik yang terjalin antara saya dengan Dr. Rosminah.
“Kenapa tidak saya sumbangkan tenaga, bakat dan masa kepada teater ini demi kekanda saya (Dr. Rosminah)? Sebelum pandemik lagi beliau sudah tawarkan saya berlakon teater.
“Tapi ketika itu masa tidak mengizinkan dan saya juga tidak berkemampuan melakukannya. Saya pernah berjanji kepadanya untuk sumbangkan sesuatu. Hari itu sudah tiba,” katanya.
Melakonkan empat watak berbeza menjadi cabaran terbesar buat pelakon berusia 52 tahun ini dalam menjayakan teater berkenaan. Kata Nasha, menyelami perasaan empat wanita dalam satu pementasan bukan kerja mudah.
“Tak ada manusia yang tanggung empat perasaan dalam satu masa sehinggakan saya terbawa-bawa salah satu karakter yang saya lakonkan dalam pementasan ini ke luar.
“Watak empat wanita ini berlainan kerana mereka mengalami tragedi, usia, latar masa, momen, sejarah, agenda dan misi yang berbeza-beza,” katanya lagi.
Kopi Pangku & Gaun Baju Melayu bakal dipentaskan pada 18, 19 dan 20 Ogos depan bertempat di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Tiket dijual pada harga RM30 dan RM50. Hubungi 0178716060 untuk pertanyaan lanjut.
Berkongsi rezeki
Penglibatan Nasha dalam teater berskala kecil bergandingan dengan pelakon yang tidak ternama membuktikan dia seorang profesional yang tidak ‘pilih bulu’.
Bahkan Nasha percaya dengan konsep berkongsi rezeki dalam industri seni tempatan yang ‘padangnya’ tidaklah sebesar mana.
“Saya tidak pernah memilih pelakon, popular atau tidak untuk bergandingan dengan saya. Itu terbukti dalam drama dan filem yang pernah saya jayakan sebelum ini.
“Bagi saya, kita semua sama. Inilah kehidupan, ia berputar. Selagi hidup, kita perlu berkongsi (rezeki).
“Bukan pelakon yang saya pilih, tetapi naskhah. Ia bergantung kepada perbincangan dengan penerbit. Ada masa saya juga mahukan cabaran,” kongsinya.