KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu telah mempersembahkan nama calon Menteri Besar kepada istana untuk mendapatkan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, nama calon Menteri Besar dipersembahkan kepada baginda pada pukul 9 pagi tadi.
“Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang telah menghadap Sultan Mizan dan menyembah maklum kepada baginda di Istana Syarqiyyah dekat Chendering.
“Proses seterusnya adalah mendapatkan perkenan Tuanku Sultan berhubung nama yang dipersembahkan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan berapa senarai nama calon Menteri Besar yang dipermudahkan Pas Terengganu kepada pihak istana.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) mencipta sejarah apabila menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Terdahulu, Wan Sukairi memaklumkan dalam Facebook rasminya Pas telah mengadakan perbincangan untuk mempersembahkan nama calon Menteri Besar kepada Sultan Mizan.
“Pas telah mempersembahkan nama itu kepada Tuanku Sultan bagi mendapat perkenan pelantikan Menteri Besar negeri Terengganu untuk pembentukan kerajaan negeri.
“Selesai pembentukan kerajaan negeri, ia akan disusuli pula dengan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Mohon doa dari semua agar segala urusan ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, Pas mencadangkan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kekal sebagai Menteri Besar Terengganu tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan sultan. -UTUSAN