Najib yang menyebabkan Jaminan Kerajaan diluluskan -Zeti

Najib yang menyebabkan Jaminan Kerajaan diluluskan -Zeti

ZETI Akhtar Aziz hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyambung bicara kes 1MDB, di sini hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak memainkan peranan bagi memastikan Jaminan Kerajaan dalam menerbitkan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) diluluskan oleh Kabinet.

“Beliau (Najib) merupakan penasihat. Beliau memegang jawatan eksekutif bukannya jawatan bukan eksekutif, jadi, beliau akan ada pengetahuan mengenai pelaburan yang akan dilakukan.

“Jaminan Kerajaan itu merupakan salah satu sebab BNM memberi kelulusan untuk pemindahan dana. Lembaga pengarah 1MDB juga meluluskannya. Kabinet juga meluluskannya.

“Beliau (Najib) yang membawa jaminan kerajaan itu ke Kabinet untuk diluluskan, beliau (selaku Menteri Kewangan) yang menjamin pelaburan itu dan 1MDB merupakan syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan). Jadi, tiada alasan untuk BNM tidak meluluskannya,”kata Zeti.

Zeti berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sama ada beliau tahu peranan yang dimainkan Najib berhubung pengiriman dana AS$1 bilion ke luar negara bagi projek usaha sama 1MDB-Petrosaudi International Ltd (PSI) kepada entiti yang salah.

Pada 24 September 2019, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberi keterangan memberitahu Najib mengarahkannya untuk meneruskan proses pengeluaran bon IMTN tersebut walaupun Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin murka dengan pelaksanaannya.

Katanya, beliau menerima ia sebagai arahan dan mandat daripada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kerana Najib menteri yang bertanggungjawab memberikan Jaminan Kerajaan itu.

Diasak oleh peguam bela itu mengenai tugas BNM dalam memastikan setiap transaksi tidak diselewengkan, Zeti menyatakan ia bukan tanggungjawab bank pusat untuk berbuat demikian.

“BNM bukan pihak yang melaksanakan penilaian wajar (due diligence), bank komersial yang mengendalikan (transaksi) yang perlu melakukannya. Bank pusat tidak bertanggungjawab untuk melakukan penilaian wajar,” jelasnya.

Terdahulu, Zeti memaklumkan, selepas BNM menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana 1MDB, bank pusat mengemukakan cadangan agar beberapa individu dalam syarikat pelaburan strategik negara itu didakwa di mahkamah.

Individu-individu tersebut ialah Shahrol Azral, bekas pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas pegawai pelaburan 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil.

Pada hari pertama Zeti memberi keterangan di mahkamah, beliau memberitahu walaupun terdapat bukti berhubung penyelewengan dana 1MDB, Jabatan Peguam Negara (AGC) di bawah kendalian bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengklasifikasikan siasatan BNM itu sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA).

Walaupun BNM menulis surat agar AGC mempertimbangkan semula keputusan NFA tersebut, masih tiada tindakan dibuat malah surat tersebut juga tidak diberikan sebarang maklum balas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya