Najib kemuka representasi kedua kaji 6 pertuduhan pecah amanah RM6.6 bilion

Najib kemuka representasi kedua kaji 6 pertuduhan pecah amanah RM6.6 bilion

MOHD Irwan Serigar Abdullah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sebutan kes pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan representasi kedua agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji enam pertuduhan pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapinya bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Representasi pertama bekas Perdana Menteri ditolak tahun lalu. Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pihak pendakwaan menerima representasi Najib minggu lalu yang dikemukakan melalui firma guaman yang mewakilinya, Tetuan Shafee & Co.

Ujar beliau, representasi Najib melibatkan jumlah dokuman yang banyak dan sama dengan lampiran dalam representasi kedua yang dikemukakan oleh Mohd. Irwan.

Muhammad Saifuddin berkata, sehubungan itu pihaknya diarahkan untuk memohon satu lagi tarikh sebutan dalam tempoh dua bulan bagi membolehkan Peguam Negara mempertimbang representasi berkenaan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Husin kemudian menetapkan 12 September ini untuk sebutan kes bagi memaklumkan perkembangan representasi tersebut. Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk status representasi kedua Mohd. Irwan yang turut memohon agar enam pertuduhan tersebut digugurkan oleh AGC. Representasi itu dikemukakan pada Mac lalu.

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan selaku tertuduh kedua tiada bantahan terhadap penangguhan tersebut. Sementara itu, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib juga memohon tempoh penangguhan selama dua minggu.

Pada 3 Mac 2022, Hakim Muhammad Jamil menolak permohonan Najib, 70, dan Mohd. Irwan, 67, agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.

Pada 3 April lalu, mahkamah diberitahu, prosiding kes pecah amanah mereka yang sepatutnya bermula pada hari tersebut, ditangguhkan selepas pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu.

Pihak pendakwaan memaklumkan menerima salinan surat daripada Muhammad Shafee yang memohon penangguan perbicaraan. Muhammad Shafee ketika itu berkata, wujud perbincangan melibatkan penyelesaian antara kerajaan dengan firma pelaburan Abu Dhabi, bagi dana yang sama dan ia merupakan subjek yang serupa bagi kes ini.

“Bagi mengelak maklumat terperinci terdedah memandangkan ia merupakan isu sensitif, kami turut mencadangkan prosiding ditangguhkan supaya perbincangan dapat berjalan dengan lancar,” ujar Muhammad Shafee.

Pada Februari lalu, media melaporkan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan 1MDB telah mencapai satu penyelesaian mengenai pertikaian mereka dengan IPIC dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS).

Ia mengenai prosiding undang-undang di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London. Menurut Kementerian Kewangan, IPIC dan Aabar PJS dari Abu Dhabi bersetuju untuk membayar AS$1.8 bilion (kira-kira RM8.06 bilion) kepada MoF Inc dan 1MDB.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya