Najib kemuka representasi gugur 3 tuduhan AMLA dana SRC

Najib kemuka representasi gugur 3 tuduhan AMLA dana SRC

NAJIB Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sebutan kes pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC). UTUSAN/ISKANDAR ISHAK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC) berjumlah RM27 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, representasi itu dihantar pada 31 Julai lalu dan diterima oleh agensi tersebut pada 2 Ogos lalu.

Ujar beliau, jabatan itu memerlukan masa selama tiga bulan untuk mengkaji isu-isu yang dibangkitkan dalam representasi berkenaan selain membuat persediaan untuk menjawabnya.

Mohd. Ashrof menjelaskan, isu-isu yang dikemukakan penting dan perlu diteliti berkaitan dokumen yang akan diberikan pada perbicaraan kelak.

Sehubungan itu, Hakim K. Muniandy kemudian menetapkan 1 Disember ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan, pihaknya sudah menyerahkan representasi setebal 51 muka surat kepada AGC.

“Dokumentasi dalam kes ini sama dengan kes SRC terdahulu manakala saksi-saksi juga lebih kurang sama,” ujar beliau pada sesi sebutan hari ini.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM27 juta, didakwa hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes itu mula dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya