KLANG: Van membawa jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh bertolak ke Sungai Petani, Kedah selepas selesai urusan solat jenazah di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berhampiran Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.
Jenazah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin itu dituntut keluarga pada awal pagi tadi sebaik sahaja urusan forensik dan pengecaman selesai serta dimandi dan dikafankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Kemudian, jenazah allahyarham Muhamad Hafiz yang merupakan anak sulung daripada lima beradik itu dibawa ke masjid tersebut untuk disolatkan sebelum dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah.
Terdahulu bapanya, Muhamad Salleh memberitahu, jenazah anaknya akan di bawa ke Masjid Al-Huda di situ untuk disolatkan sekali lagi sebelum dikebumikan dekat tanah perkuburan Islam dekat kampung tersebut pada hari ini.
Terdahulu, penghantar makanan itu merupakan jenazah pertama yang sah dikenalpasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Jenazah anak sulung daripada lima beradik itu dituntut Muhamad Salleh dan isterinya, Jamilah Ismail, 53, kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
Serahan jenazah allahyarham dibuat selepas sidang akhbar oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan identiti mangsa dan kebenaran tuntutan jenazah kepada keluarga.
Khamis lalu, sekurang-kurangnya 10 warga tempatan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.
Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.
Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam. – UTUSAN