KLANG: Allahyarham Idris Abdol Talib@Ramali, 41, disifatkan seorang yang sentiasa menjaga solat dan mengaji Al-Quran selain rajin bersedekah serta membantu orang ramai.
Abang ipar mangsa, Ahmad Fariz Ahmad Rusli, 51, berkata semua ahli keluarga sememangnya amat menghormati keperibadian mulia arwah selama ini.
Kata peniaga itu, air matanya berlinangan selepas melihat jasad Allahyarham yang dalam keadaan masih sempurna dari rambut sehingga kaki.
“Adik ipar saya itu sepanjang hayatnya bukan saja sentiasa menjaga hubungan dengan Allah malah kepada orang lain. Mungkin amalan itu antara rahmat Ilahi yang masih memelihara jasadnya selepas terkorban dalam tragedi hitam itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu, jenazah Allahyarham yang juga Hafiz al-Quran itu selamat dimandi dan disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Baraq Benus, Bentong, Pahang bagi urusan pengebumian.
Hanya pakaian arwah dilaporkan yang terbakar dalam nahas pesawat ringan itu manakala jasadnya dalam keadaan baik.
Jelas Ahmad Fariz, dia kali terakhir menemui Idris ketika kempen pilihan raya di Pasir Puteh, Kelantan, dua minggu lalu.
“Pada waktu itu, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara dan mesra dengan saya seperti kebiasaannya.
“Namun, saya terkejut menerima berita nahas itu dan segera bergegas ke rumah adik perempuan (isteri arwah) bagi mendapatkan kepastian lanjut ” ujarnya.
Tambah beliau, keluarga reda dengan ketentuan Allah yang sudah memilih arwah bersama para syahadah lain.
Allahyarham Idris antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin.
Beliau meninggalkan seorang balu, Adlina Aisyah Ahmad Rusli, 41, dan tiga anak masing-masing berusia 54 hari, 10 tahun serta 14 tahun.
Allahyarham merupakan pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguatkuasa.
Namun, beliau bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang turut maut dalam nahas sama. – UTUSAN