KLANG: Kerajaan Negeri Pahang menyerahkan sepenuhnya kepada keluarga berkaitan urusan pengebumian jenazah mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, keputusan urusan penting itu merupakan hak peribadi dan hak keluarga masing-masing.
“Bagi kerajaan negeri, terserah kepada keluarga untuk memutuskan pengebumian berkenaan.
“Tidak semestinya itu (pengebumian satu lahad) dibuat, ia terpulang kepada keluarga dan kita perlu menghormatinya,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.
Media semalam melaporkan jenazah mangsa nahas itu berkemungkinan dikebumikan dalam satu lahad sekiranya dipersetujui waris.
Perkara itu dimaklumkan melalui taklimat ringkas pihak berkuasa kepada waris yang menunggu di Jabatan Perubatan Forensik.
Namun, semua waris diberikan hak mengebumikan jenazah individu tersayang di mana sahaja termasuk di kampung halaman masing-masing.
Tambah Mohd. Sharkar yang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, kerajaan negeri akan memfokuskan perkara lain berbanding urusan pengebumian tersebut.
“Jika boleh, kami mahu urusan tuntutan jenazah disegerakan dan diserahkan kepada keluarga mangsa. Kehadiran saya juga bagi memantau dan memastikan segala urusan berjalan lancar,” ujarnya.
Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang itu pergi ke Langkawi untuk mesyuarat dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pemergian Johari disifatkan kehilangan besar kerana merupakan pemimpin pelapis kepada negeri itu. – UTUSAN