Nahas pesawat: Tidak sangka itu panggilan terakhir arwah - Ibu  - Utusan Malaysia

Nahas pesawat: Tidak sangka itu panggilan terakhir arwah – Ibu 

Nahas pesawat
JAMALIAH Ismail bersama suaminya Muhamad Salleh Othman berada di Jabatan Perubatan Forensik, HTAR, di Klang Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: “Arwah sememangnya kerap menghubungi kami dan saya tidak sangka panggilan terakhirnya pada minggu lalu,”.

Demikian kata Jamaliah Ismail, 53, ibu kepada penghantar makanan, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, yang maut dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, kelmarin.

Menurutnya, tiada sebarang perubahan ketara atau kelakuan luar biasa ditunjukkan anak sulung daripada lima beradik itu sebelum kejadian.

“Dia hanya menghubungi ahli keluarga kami seperti biasa. Namun, saya terkejut menerima berita nahas itu dan dimaklumkan oleh polis mengenai tuntutan jenazah pukul 12 tengah malam tadi,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.

Terdahulu, Allahyarham Muhamad Hafiz yang juga jenazah pertama yang sah dikenalpasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selesai dituntut keluarga, kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Saleh Othman,57, berkata jenazah anaknya akan diuruskan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Jenazah Allahyarham akan dimandi serta dikafankan oleh JAIS dan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahimiah Klang. Jenazah kemudian akan dibawa untuk dikebumikan Kampung Jerung, Sungai Petani, Kedah,” ujarnya.

Tambah beliau, ahli keluarga berterima kasih kepada pihak yang terlibat dalam memudahkan urusan pengurusan jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz.

Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik itu merupakan pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.

Berita pemergian Allahyarham Muhamad Hafiz juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki.

Menurut saksi kejadian, Allahyarham sempat menyebut ‘Allahuakbar’ sebelum menghembuskan nafas terakhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya