KLANG: Seorang lelaki terkejut mengetahui adik iparnya antara mangsa yang terbunuh dalam nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, petang tadi.
Shamsul Azizan Md. Nasir, 62, yang juga abang ipar kepada Allahyarham Kharil Azwan Jamaludin berkata, arwah kebiasaannya memandu helikopter kerana beliau merupakan juruterbang persendirian kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Katanya, arwah bertugas dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang itu sejak tiga tahun lalu.
“Pada mulanya kami tidak percaya dan hanya tahu menerusi gambar yang diberikan adik perempuan saya. Kami cuba mendapat maklumat semua pihak sebelum disahkan sebagai antara mangsa nahas tersebut,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, malam ini.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan senarai nama lapan mangsa terkorban melibatkan nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu.
Ini melibatkan dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.
Enam penumpang lain adalah Datuk Seri Johari Harun, Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamed Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki, Idris Abdol Talib @ Ramali.
Tambah Shamsul Azizan, Allahyarham Kharil Azwan disifatkan seorang yang amat baik dan komited dalam kerjaya.
“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah Selasa lalu (kelmarin) dan dilihat tiada perubahan ketara pada dirinya. Dia (Khairil Azwan) memang seorang yang kerja keras termasuk ketika cuti Hari Raya Aidilfitri,” luahnya. – UTUSAN