Nahas pesawat: Sembilan jenazah selesai disolatkan - Utusan Malaysia

Nahas pesawat: Sembilan jenazah selesai disolatkan

Nahas pesawat
MUHAMMAD Farhan Wijaya mengimamkan solat jenazah Allahyarham Muhammad Taufiq Mohd. Zaki, Allahyarham Khairil Azwan Jamaludin dan Allahyarham Sharipuddin Shaari di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pengurusan jenazah kesemua baki sembilan mangsa nahas pesawat di Persiaran Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu, selesai diurus dan disolatkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah di sini, pada pukul 12.25 tengah hari.

Jenazah pertama disolatkan, ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sekitar pukul 10 pagi selepas ia dituntut oleh keluarga di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, pagi tadi.

Lebih 100 jemaah hadir solat jenazah tersebut yang diimamkan oleh anak allahyarham sendiri dan dibawa ke Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.35 pagi.

Kemudian disusuli solat jenazah bagi tiga mangsa serentak, iaitu, Allahyarham Muhammad Taufiq Mohd. Zaki, Allahyarham Khairil Azwan Jamaludin dan Allahyarham Sharipuddin Shaari yang diimamkan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya.

Ketiga-tiga jenazah itu tiba di masjid berkenaan secara berperingkat di antara pukul 10.20 pagi hingga 10.45 pagi.

Usai disolatkan, pada pukul 11.15 pagi ketiga-tiga jenazah itu kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang; Felda Mempaga, Pahang dan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang untuk dikebumikan.

Kemudian, jenazah Allahyarham Muhammad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi dan Allahyarham Shaharul Amir Omar pula disolatkan dan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang dan Manjong, Perak untuk dikebumikan.

Sesi solat jenazah terakhir melibatkan mangsa Allahyarham Idris Abdul Talib @ Ramali, Allahyarham Shahrul Kamal Roslan dan Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim yang dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Baraq Benus, Bentong; Klang Gate, Ampang dan Presint 20, Putrajaya.

Kesemua baki jenazah sebelum ini dibenarkan dituntut oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan selepas urusan forensik dan proses pengecaman terhadap 200 cebisan anggota badan selesai dilakukan pada tengah malam tadi.

Beliau dalam sidang akhbar pagi tadi mengesahkan kesemua 10 identiti mangsa tragedi pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu selepas proses pengecaman kira-kira 200 cebisan anggota badan dikenalpasti melalui cap jari, pengesanan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan odontologi (pergigian).

Seramai 10 warga tempatan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan persendirian pada pukul 2.40 petang, Khamis Lalu di Persiaran Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.

Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Johari serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.

Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya