KLANG: Jenazah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam akan diserahkan kepada waris hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata bagaimnaapun identiti mangsa itu hanya akan didedahkan kepada umum selepas polis memaklumkan kepada waris.
“Esok pagi (hari ini) akan ada satu jenazah diserahkan kepada waris. Maklumat lanjut akan dimaklumkan esok kerana kita perlu hubungi keluarga dahulu sebelum kita dedahkan kepada umum,” katanya malam tadi.
Terdahulu, beliau tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, bagi menghadiri mesyuarat kira-kira pukul 8.30 malam.
Jelas Hussein, beliau hadir untuk bermesyuarat dengan pihak berkaitan iaitu Pasukan Patalogi HTAR, Jabatan Kimia Malaysia, Bahagian Cap Jari Bukit Aman dan pakar ontologi (gigi) Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ia bertujuan membincangkan perkara berkaitan mengenal pasti identiti mangsa terlibat. Kita juga ada menghantar sampel (mangsa) ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan proses bedah siasat dan pengecaman kesemua 10 mangsa nahas itu dijangka siap seawal Isnin depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan proses termasuk pengesanan identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) itu mengambil masa kerana Jabatan Kimia harus membuat pengecaman cebisan anggota badan mangsa.
Malah dalam sidang akhbar pertamanya berhubung tragedi itu memaklumkan, hanya mayat mangsa penunggang motosikal yang terkena hentaman pesawat berkenaan dikenalpasti berada dalam keadaan sempurna.
Sementara itu, satu sidang akhbar khas akan diadakan oleh Hussein pada pukul 8.30 pagi ini di HTAR bagi memaklumkan perkembangan terkini proses forensik dan pengecaman mayat.
Sekurang-kurangnya 10 warga tempatan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang Khamis lalu di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.
Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.
Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam. – UTUSAN