SHAH ALAM: Operasi pencarian di tapak nahas sebuah pesawat ringan dekat Persiaran Elmina, Seksyen U16 di sini hampir selesai apabila pihak berkuasa kini sedang melakukan kerja-kerja tersebut pada peringkat akhir sebelum pembersihan dilakukan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses tersebut kini sudah berada pada tahap 95 peratus dan selebihnya adalah melibatkan kerja pengalihan serpihan pesawat termasuk dekat kawasan yang belum dilakukan pencarian.
“Saya boleh katakan pencarian kita di sini berakhir dan 95 peratus, kita cuma last touch-up untuk bersihkan, mungkin ada human remain sikit-sikit kita akan ambil, tinggal hendak mengalihkan serpihan mungkin bawah kereta pun kita belum angkat lagi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau menambah, operasi tersebut turut dilakukan bersama Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang membuat siasatan terhadap serpihan dan kota hitam mengandungi perakam suara kokpit yang ditemukan pada bangkai pesawat.
“Dalam pukul 10 malam tadi, pesawat ini daripada siasatan BSKU, mempunyai cockpit voice recorder sahaja, dia tak ada flight data recorder, bila kita tanya ada separuh yang memang tak ada langsung pun ada. Jadi pesawat ini ada satu.
“Itu sudah diambil oleh BSKU untuk siasatan. Memang ditemui pada bangkai pesawat,” jelasnya.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 10 warga tempatan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang tadi di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.
Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.
Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam.
Dalam pada itu, Razarudin turut memaklumkan seramai 22 pewaris diambil sampel oleh polis bagi membuat padanan terhadap mangsa termasuk melalui asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa termasuk lapan dalam pesawat berkenaan.
Menurutnya, identiti pemandu kereta terlibat juga sudah dikenalpasti sebagai pemandu e-hailing dan tidak membawa penumpang selepas semakan dengan syarikat berkaitan dilakukan.
“Pemandu kereta pula sudah reject penumpang daripada pukul 2 petang, kita sudah semak dengan Grab dan dia memang reject penumpang tersebut, jadi kita syaki bahawa dia seorang.
“Tetapi human remain nanti bila kita buat DNA nanti baru kita tahu ada terlebih atau tidak, daripada situ unit forensik akan tentukan. Buat masa ini kita anggap dia (pemandu kereta) seorang sahaja,” ujarnya.
Katanya lagi, polis sedang mendapatkan maklumat berkaitan tragedi tersebut daripada sumber lain termasuk rakaman video daripada kamera papan pemuka milik orang awam.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu untuk tampil dan menyalurkannya di mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN