SHAH ALAM: Kesemua 10 mayat yang terlibat dalam nahas pesawat ringan persendirian dekat Persiaran Elimina, di sini ditemui dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pada malam ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mayat tersebut bersama lima bungkusan cebisan anggota badan ditemukan kesemuanya pada kira-kira pukul 10.30 malam iaitu hampir lapan jam selepas tragedi terbabit berlaku.
Menurutnya, penemuan kesemua mayat itu dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pasukan siasatan polis bersama dengan bomba, APM, selesai pencarian dan juga pemprosesan mayat dan juga cebisan, kira-kira pukul 10.30 tadi kita selesai jumpa dan juga proses sebanyak 10 mayat dan juga lima bungkusan cebisan anggota badan.
“Jadi, semua dalam 15, sepuluh mayat dan lima bungkusan cebisan badan. Yang ini adalah pencarian pertama, semua yang ditemui akan dibawa ke HTAR untuk dimulakan proses bedah siasat serta pengecaman yang akan dilakukan oleh Patologi hospital berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau menambah, mayat pertama ditemui dalam keadaan sempurna kira-kira pukul 6 petang tadi yang merupakan seorang penunggang motosikal.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu mayat mangsa nahas pesawat didapati berada dalam keadaan tidak sempurna dan cebisannya perlu dikumpulkan sebelum dibawa ke HTAR, untuk proses selanjutnya.
Sekurang-kurangnya 10 warga tempatan dilaporkan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang tadi di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.
Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.
Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan, mayat kesemua mangsa dihantar terus ke hospital bagi proses bedah siasat dan pengecaman yang dijangka selesai pada pagi atau tengah hari esok.
“Pasukan polis akan meneruskan pencarian kali kedua untuk mengenalpasti sekiranya ada lagi cebisan yang tertinggal dalam pencarian pertama tadi.
Kita percaya, proses pengenalpastian bedah siasat nanti akan selesai pada pagi ataupun tengah hari esok bergantung pada analisis DNA dan sebagainya. Itu sahaja yang saya dapat maklumkan,” ujarnya. – UTUSAN