Nahas pesawat: Kotak hitam ditemukan- Polis - Utusan Malaysia

Nahas pesawat: Kotak hitam ditemukan- Polis

Nahas pesawat
HUSSEIN Omar Khan dalam sidang akhbar di lokasi nahas pesawat dekat Persiaran Elmina, Seksyen U16, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kotak hitam pesawat yang terhempas di Elmina berjaya dijumpai oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia dijumpai ketika pasukan siasatan menjalankan misi pencarian mayat di tapak nahas tersebut.

“Kita berjaya menjumpai rakaman audio pesawat (voice cockpit recorder) oleh BSKU.

“Mereka berjaya menjumpainya dan akan membawa balik ke makmal untuk analisis berkaitan dengan kemalangan ini,” katanya dalam sidang akhbar di tempat kejadian di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu mayat mangsa nahas pesawat didapati berada dalam keadaan tidak sempurna dan cebisannya perlu dikumpulkan sebelum dibawa ke HTAR, untuk proses selanjutnya.

Sekurang-kurangnya 10 warga tempatan dilaporkan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang tadi di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.

Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.

Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam.

Tambah Hussein, kotak hitam pesawat itu terdiri daripada dua bahagian.

“Kotak hitam ada rakaman audio pesawat dan rakaman data penerbangan (flight data recorder), jadi yang kita jumpa adalah rakaman audio pesawat,” katanya.

Pihak berkuasa akan meneruskan pencarian di tapak nahas pada hari Jumaat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya