KLANG: Pengurusan jenazah kesemua 10 mangsa nahas pesawat ringan dekat Persiaran Elmina, Shah Alam semalam, akan dibantu oleh kerajaan termasuk kelengkapan bagi urusan pengembumian dan sebagainya.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan pelbagai bantuan akan disalurkan kepada waris dan ahli keluarga termasuk penginapan kepada mereka sehingga pengebumian jenazah disempurnakan.
“Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah mempercepatkan proses forensik dan pengecaman. Sebaik selesai, semua akan diuruskan oleh kerajaan sama ada (daripada) majlis agama, kerajaan negeri dan jabatan berkenaan, kita akan bantu untuk meringankan beban kepada keluarga.
“Sekarang ini kita beri semua bantuan diperlukan untuk uruskan jenazah, semua kelengkapan, penginapan dan semua yang selain daripada itu kerajaan akan beri bantuan kepada keluarga untuk menampung terutama bagi keluarga yang tidak mempunyai pekerjaan tetap di pihak keluarga,” katanya, kepada pemberita, hari ini.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini bertemu ahli keluarga mangsa nahas yang sedang menunggu di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik dan mengucapkan takziah kepada mereka.
“Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan bersabar kerana tiada sesiapa yang boleh jangka,” ujarnya.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 10 warga tempatan maut dalam nahas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada pukul 2.40 petang tadi di Persiaran Elmina, Seksyen U16, di sini, yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Bagaimanapun, pesawat terbabit terputus hubungan dengan menara kawalan sebaik sahaja mendapat kebenaran untuk mendarat di lapangan terbang berkenaan.
Mangsa yang berada dalam pesawat seramai lapan orang terdiri daripada enam lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun serta dua anak kapal termasuk seorang juruterbang.
Sementara dua lagi merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di Persiaran Elmina berhampiran susur masuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dari arah Denai Alam.
Dalam pada itu, Anwar turut menghargai petugas agensi kerajaan dan petugas daripada badan-badan kebajikan bukan kerajaan yang membantu ahli keluarga mangsa serta melancarkan pengendalian nahas tersebut.
“Saya ikuti daripada semalam perkembangannya, alhamdulillah syukur kerana dari segi keselamatan, jabatan agama, forensik hospital, kemudian beberapa badan kebajikan lain daripada kerajaan, persiapan penginapan semua diurus dengan begitu cekap, saya bangga dan berterima kasih,” katanya. – UTUSAN