Nahas pesawat: Jenazah boleh dituntut seawal Isnin - Utusan Malaysia

Nahas pesawat: Jenazah boleh dituntut seawal Isnin

Nahas pesawat
RAZARUDIN Husain menyampaikan taklimat perkembangan proses forensik dan pengecaman kepada ahli keluarga mangsa di luar Jabatan Perubatan Forensik HTAR, di Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Proses bedah siasat dan pengecaman kesemua 10 mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, semalam dijangka siap seawal Isnin depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses bedah siasat dan pengesanan identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengambil masa kerana Jabatan Kimia harus membuat pengecaman cebisan anggota badan mangsa.

“Terdapat lebih 200 cebisan dan diperlukan antara satu hingga tiga jam untuk mengenal pasti setiap satu daripadanya oleh Jabatan Kimia untuk dipadankan kepada tubuh yang terpisah. Proses sama terpaksa diulang-ulang supaya padanan dapat dilakukan dengan tepat.

“Paling awal jenazah dapat dibawa keluar adalah pada Isnin depan,” katanya dalam sidang akhbar di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, petang ini.

Justeru, beliau menambah, waris dan ahli keluarga dinasihatkan untuk bertenang dan bersabar serta menunggu keputusan kesemua ujian ini di rumah atau menyewa di hotel berbanding menunggu di hospital.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan kesemua 10 mayat mangsa berjaya ditemukan pada pukul 10.30 malam tadi bersama 15 bungkusan cebisan anggota badan yang dibawa bersama ke HTAR kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Dalam pada itu, Razarudin memaklumkan polis sudah pun mengambil maklumat perhubungan kesemua 22 waris dan akan menghubungi mereka apabila jenazah sedia dituntut selepas proses padanan DNA dan bedah siasat selesai.

“Kita juga berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan mereka bersetuju untuk menguruskan jenazah seperti memandik, mengkafan, menunaikan solat jenazah dan membawa jenazah ke tempat pengebumian yang waris pilih.

“Bagi pihak polis pula, kita (anggota trafik) akan mengiringi van jenazah dari hospital sehingga tempat pengebumian,” ujarnya.

Katanya lagi, Razarudin berharap semua waris mangsa bertenang sementara menunggu proses bedah siasat dan pengesanan DNA selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya