KLANG: Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh yang merupakan salah seorang mangsa dalam nahas sebuah pesawat ringan di Persiaran Elmina, Shah Alam kelmarin dijangka dikebumikan di Kampung Jerong, Sungai Petani Kedah, hari ini.
Menurut bapanya, Muhamad Salleh Othman, 57, dia dihubungi polis pada tengah malam tadi sebelum hadir ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi menuntut jenazah anaknya.
“Saya mengetahui jenazah boleh dituntut selepas menerima panggilan daripada anggota polis pada 12 tengah malam tadi. Urusan tuntutan mayat dapat diselesaikan pada pukul 3 pagi tadi dan kami jangka urusan pengebumian akan diselesaikan pada hari ini.
Jenazah anaknya akan dibawa ke Masjid Al Huda Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah untuk disolat sebelum dikebumikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, HTAR, hari ini.
Terdahulu, penghantar makanan itu merupakan jenazah pertama yang sah dikenalpasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Jenazah anak sulung daripada lima beradik itu dituntut Muhamad Salleh dan isterinya, Jamilah Ismail, 53, kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
Serahan jenazah allahyarham dibuat selepas sidang akhbar oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan identiti mangsa dan kebenaran tuntutan jenazah kepada keluarga.
Sementara itu, Hussein memaklumkan pihaknya menghubungi Muhamad Salleh bagi memaklumkan jenazah boleh dituntut bagi proses pengebumian.
“Kami sudah menghubungi bapa kepada Muhamad Hafiz bahawa jenazah boleh dituntut pada pagi ini.
“Jenazah akan dimandi dan dikapankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan HTAR sebelum dihantar ke Sungai Petani,” ujarnya.
Terdahulu, Muhamad Saleh hadir ke Jabatan Forensik itu kira-kira pukul 8.30 pagi ini selepas ketibaan van jenazah milik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik itu merupakan pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.
Berita pemergian allahyarham juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki.
Menurut saksi kejadian, Allahyarham sempat menyebut ‘Allahuakbar’ sebelum menghembuskan nafas terakhir. – UTUSAN