KLANG: Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Persiaran Elmina, Shah Alam kelmarin hadir ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.
Datin Seri Maziah Samsudin dilihat hadir menaiki sebuah kenderaan dengan diiringi beberapa individu memasuki kawasan itu, kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Difahamkan, beliau bertemu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar bagi mendapatkan makluman terbaharu mengenai jenazah suaminya.
Hussein ketika ditemui mengesahkan kehadiran ahli keluarga ADUN tersebut.
“Polis memanggil ahli keluarga mangsa bagi tujuan mengambil keterangan lanjut. Segala urusan tuntutan jenazah akan dimaklumkan selepas menerima pengesahan padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya ringkas.
Terdahulu, Maziah berada di Jabatan Forensik kira-kira sejam sebelum menemui Hussein di luar perkarangan kawasan berkenaan.
Allahyarham Johari antara 10 mangsa nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina petang kelmarin. – UTUSAN