Nahas pesawat: Arwah kurang ceria,banyak menyendiri - Rakan - Utusan Malaysia

Nahas pesawat: Arwah kurang ceria,banyak menyendiri – Rakan

Nahas pesawat
BAPA Allahyarham Muhamad Hafiz, Muhamad Salleh Othman mengiringi jenazah anaknya untuk pulang ke Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penghantar makanan, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, dikatakan kurang ceria dan banyak menyendiri sebelum maut dalam nahas pesawat ringan yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam kelmarin.

Rakan mangsa, Mohd. Rosmaini Sahlan, 42, berkata dia kali terakhir menemui arwah di kawasan sebuah lot kedai di Subang Bestari, beberapa sebelum kejadian itu.

Menurutnya, dia bersama beberapa rakan penghantar makanan lain sedang menunggu tempahan pelanggan di lokasi tersebut.

“Namun, saya agak pelik kerana melihat arwah agak kurang bercakap dan tidak ceria sedangkan dia amat peramab sebelum ini.

“Selain itu, dia agak menyendiri dan tidak sangka ia petanda awal pergi meninggalkan kami buat selamanya,” katanya ketika ditemui di Masjid Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan disembahyangkan di masjid itu selepas dituntut keluarga di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu.

Dalam pada itu, Mohd. Rosmaini, memberitahu arwah turut sempat meluahkan hasrat mahu mencari wang membantu kos perbelanjaan perkahwinan adik perempuannya.

“Dia pernah memberitahu ingin mengumpul wang untuk majlis perkahwinan itu dan sanggup bekerja siang dan malam. Selain itu, dia juga menjemput rakan-rakan ‘rider’ untuk menghadiri kenduri itu di Taman Sidam Kiri, Sungai Petani pada 26 Ogos depan,” ujarnya.

Tambah beliau, arwah disifatkan sebagai sahabat yang amat baik dan tidak lokek dengan semua rakannya. 

“Kehadiran saya menyertai solat jenazah adalah sebagai penghormatan terakhir kepada arwah,” katanya.

Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz dijangka dikebumikan di Kampung Jerong, Sungai Petani, Kedah hari ini.

Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik itu merupakan pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.

Berita pemergian Allahyarham Muhamad Hafiz juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki.

Menurut saksi kejadian, Allahyarham sempat menyebut ‘Allahuakbar’ sebelum menghembuskan nafas terakhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya