KLANG: Keberadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas adalah bagi tujuan rasmi kerajaan Negeri Pahang.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, arwah yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang pergi ke Langkawi untuk mesyuarat dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, ia merupakan kehilangan besar kerana Allahyarham Johari merupakan pemimpin pelapis kepada negeri itu.
“Beliau ( Johari) berada di pesawat itu untuk tugasan rasmi untuk mesyuarat dengan Menteri Besar Pahang di Langkawi, Kedah. Mula mengetahuinya amat terkejut sebab kita ada banyak Johari. Kita ada Johari Harun, Johari Hussien (Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman). Tidak tahu mana satu.
“Namun, apabila dapat tahu kad pengenalannya bermula 1970 bermakna 53 tahun dan kita dapat jangka Johari Harun yang meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, malam ini.
Jelas Mohd. Sharkar, Allahyarham disifatkan seorang yang rajin meskipun adalah kali pertama bertanding sebagai wakil rakyat.
“Kali terakhir saya menemui beliau pada minggu lalu dalam satu program dan sepatutnya jumpa semalam namun dia senyap (tanpa khabar berita). Semua ini takdir Allah dan kita amat sedih kehilangan tokoh muda yang mempunyai potensi amat tinggi,” katanya.
Tambah beliau, segala urusan berkaitan Allahyarham Johari termasuk penghantaran dan pengebumian akan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.
Ditanya mengenai kekosongan kerusi DUN Pelangai, beliau berkata, pihaknya belum menerima surat rasmi mengenainya sebelum dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – UTUSAN