KLANG: Kira-kira 10 pegawai dan kakitangan forensik akan ditugaskan bagi proses bedah siasat ke atas 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam.
Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, daripada jumlah tersebut empat pegawai adalah daripada hospital ini.
Katanya, ia melibatkan pakar perubatan forensik, pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan.
“Berdasarkan maklumat, 10 jenazah akan tiba di unit forensik HTAR bagi proses bedah siasat. Ini melibatkan 8 penumpang termasuk kru pesawat ringan terbabit dan dua lagi masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Zulkarnain, setakat ini bagaimanapun mayat nahas tersebut masih belum tiba di HTAR.
Puluhan pengamal media mula memenuhi luar pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, petang ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pintu masuk utama Jabatan Forensik itu dikawal ketat pengawal keselamatan dan media tidak dibenarkan memasukinya.
Setakat pukul 8 malam ini, jenazah mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam belum tiba di hospital tersebut. Seramai 10 mangsa terkorban dalam nahas melibatkan pesawat ringan yang terhempas di Persiaran Elmina.
Dalam kejadian pukul 2.48 petang itu, kesemua mangsa yang terlibat adalah lapan orang penumpang. Turut terkorban, pemandu kereta dan penunggang motosikal apabila pesawat itu dipercayai terhempas pada mereka.
Kesemua mangsa warga tempatan yang maut berusia 40 hingga 50-an.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat daripada Langkawi, Kedah itu sepatutnya mendarat di Terminal Skypark Subang pukul 2.50 petang.
Namun, dua minit sebelum mendarat, pesawat berkenaan telah terhempas ke lokasi kejadian dan menghempas sebuah kereta dan motosikal.
Kesemua penumpang termasuk seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun menaiki pesawat ringan ke Langkawi bagi menghadiri mesyuarat. – UTUSAN