PETALING JAYA: Penyanyi, Zainal Abidin menyifatkan bekas anak muridnya, Nadeera sebagai seorang penyanyi yang versatil dan berbakat besar.
Zainal atau nama sebenarnya Zainal Abidin Mohamed, 62, berkata, dengan bakat besar yang dimiliki, Nadeera sudah sepatutnya membuat persembahan di pentas-pentas besar sejak dahulu lagi.
“Dulu lagi dia patut berada di tempat yang dinyatakan (konsert bersama Cakra Khan). Sebenarnya kalau dibandingkan dengan Cakra Khan, Nadeera jauh lebih baik.
“Itu pendapat saya, anda mungkin berpandangan lain. Dia sangat versatil dan mempunyai suara yang baik. Dia tahu hendak menggunakan apa sahaja teknik nyanyian di atas pentas,” katanya semasa sesi fotografi di ibu pejabat Media Mulia di sini, semalam.
Terdahulu, Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini dipilih oleh penyanyi lagu-lagu galau, Cakra Khan untuk sepentas semasa konsert di Zepp Kuala Lumpur, September depan.
Juara program realiti Big Stage itu pernah menyertai Mentor Legend dan menjadi protege Zainal pada 2015.
Bekas vokalis Headwind itu malah turut membandingkan dengan dirinya yang tidak sebagus Nadeera walaupun sudah empat dekad berkecimpung dalam industri seni.
“Saya 40 tahun menyanyi pun tak sebagus Nadeera. Cuma, mungkin saya ini lebih berpengalaman. Itu sahaja,” katanya.
Dalam masa sama, Zainal kecewa apabila industri muzik masih berdepan dilema komersial serta unsur-unsur materialistik lain sehingga penyanyi benar-benar berbakat sukar menembusi pasaran.
“Kalau dahulu orang tak pandang pun siapa Nadeera. Semua tahu dia memang berbakat dan paling layak tetapi kerana dunia terlalu materialistik seperti penyanyi mesti banyak followers, cantik dan tinggi.
“Dunia seolah-olah melihat anda perlu pakai jenama Dior atau LV kemudian baru orang iktiraf. Makna kata tak berbakat atau tak cantik pun tidak mengapa janji pakai jenama sedemikian,” ulasnya.