SUBANG JAYA: Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) bakal memperluaskan pemasangan Sistem Solar (PV) di semua 14 cawangannya di seluruh negara menjelang tahun 2025.
Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, perancangan pemasangan solar tersebut adalah salah satu daripada inisiatif ESG ‘MYDIN Prihatin #forfuture’ dalam memberi fokus kepada usaha menjaga dan menerapkan budaya melestarikan alam sekitar dalam perniagaan.
Menurut beliau, komitmen tersebut merupakan sokongan perusahaan pasar raya besar itu terhadap dasar dan matlamat kerajaan dalam memastikan setiap perniagaan perlu memainkan peranan dalam menjaga persekitaran dan mengurus tadbir urus sosial.
Jelasnya, ianya selaras dengan melaksanakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam menjalankan perniagaan serta menerapkan budaya mencintai dan memulihara alam sekitar dalam kalangan warga kerja.
“Sebagai contoh, melalui kerjasama pemasangan sistem solar dengan kolaborasi imperatif bersama GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) sebuah syarikat subsidiari sepenuhnya milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebanyak 26,464,764 kilowatt-jam (kWi) tenaga bersih dapat dijana setiap tahun melalui panel-panel yang dipasang.
“Penyediaan solusi tenaga solar sebagai sumber alternatif tenaga elektrik oleh TNB ini adalah selari dengan inisiatif Peralihan Tenaga TNB yang berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.
Beliau kata demikian ketika menjayakan Program ‘MYDIN Prihatin #forfuture’ di Mydin Subang Jaya, di sini semalam.
Turut hadir pada program tersebut Menteri Alam Sekitar, Sumber Asli dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Ahmad.
Tambah Ameer, antara inisiatif lain yang diaplikasikan dalam perniagaan mereka termasuklah pemasangan Sistem Kepintaran Data, Pengurusan Sisa Efektif, Kecekapan Tenaga, Penggunaan Tenaga Boleh Guna, Tong Pakaian Kitar Semula, Sistem Logistik Pintar yang membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Katanya, pelaksanaan tersebut diharap dapat mencapai tiga teras objektif utama iaitu berjaya mengurangkan 15 peratus penggunaan tenaga dan pelepasan karbon menjelang 2030.
Menurutnya, ini juga selaras dengan sokongan yang ditunjukkan oleh Mydin terhadap hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050 nanti.
Seterusnya, beliau menambah, hasrat pelaksanaan inisiatif itu dapat memberi inspirasi kepada pengguna dan rakan pembekal strategik untuk membudayakan amalan mampan bagi mengurangkan sekurang-kurangnya 50 peratus sisa bahan terbuang dan penggunaan plastik menjelang tahun 2030.
“Dalam pada itu, diharapkan agar ianya dapat memupuk penglinbatan dan pendidikan komuniti dengan mendekati seramai 10, 000 sasaran penerima di bawah Program Tanggungjawab Sosial MYDIN Prihatin.
“Justeru itu, bagi merealisasikan misi tersebut, Mydin bekerjasama dengan lapan rakan stategik iaitu Anacle Data Sdn. Bhd., Fathopes Energy, Frost Technologies Sdn. Bhd., GSparx Sdn. Bhd., Lifeline Clothing Sdn. Bhd., Servedeck Sdn. Bhd. dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” ujarnya. – UTUSAN