SERAMAI 93 orang murid Orang Asli etnik Jahut memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan dengan menyertai pelbagai pertandingan bertemakan Jalur Gemilang di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol, Jerantut baru-baru ini.
Guru Besar SK Sungai Kiol, Abd Manaf Mat berkata, program itu yang di bawah pengurusan dua orang guru, iaitu Anuar Ali dan Noriah Pandak melibatkan pertandingan mewarna, kuiz kemerdekaan, lagu irama Malaysia, sukaneka dan mengibarkan Jalur Gemilang di persekitaran sekolah.
“Program ini untuk menitipkan semangat patriotisme menerusi sejarah kemerdekaan negara dalam kalangan murid Orang Asli dan pada masa yang sama bagi pengisian aktiviti koakademik dan kokurikulum sekolah ini,” katanya di SK Sungai Kiol, Jerantut baru-baru ini. –UTUSAN